Translate

Sabtu, 27 September 2014

BAB 4

BAB 4
WEIZHE berada di suatu tempat lapang, dia kelelahan. Peluh yang merincik dibiarkan sahaja. Wanita cina masih mengejarnya dari belakang, dia harus menyembunyikan diri daripada wanita itu. Sungguh, dia tidak rela jika beristerikan dia. Tidak, tidak! Jeritannya hanya bergema di dalam hati saja.
“Wei, di mana kau?” laung wanita cina itu. Suaranya memecah kesepian di sekitar dan sama waktu dengannya. Weizhe tetap membisu. Sungguh pun jantungnya berdebar-debar, dia akan bertahan diri.
“Wei, aku cari kau sampai dapat!” ugut suara tersebut.
Weizhe mati kutu, tubuhnya disandar pada dinding yang kepam dan berlumut. Bau tengit menusuk pada rongga baunya. Namun, dia harus menempuhnya dengan hati tabah.
“Wei!” suara itu bertambah dekat padanya. Malah dia terasa yang bahunya dipaut oleh seseorang. Weizhe segera membuka matanya. Dia bingkas bangun dan menoleh... senyuman yang kelat sebentar tadi mula bertukar ceria. Wajah Mak Mah tertera di layar matanya...
“Apa lagi tu. Termenung lagi?” soal mak Mah sambil menatang dulang berisi dua mangkuk sup ayam beserta dengan segelas air kosong juga secangkir kopi O pekat.
Weizhe Cuma menyeringai sambil menggosok pangkal tengkuk.
“Mimpilah Mak Mah, dahsyat sangat.”
“Erm... mimpikan wanita tu kejar Wei lagilah ye?”
“Ha ha ha... !” pecah tawa anak muda itu. Apabila bersama Mak Mah penipuan tidak akan terjadi, kerana gerak hatinya mampu dibaca oleh Mak Mah.
“Mak Mah tahu dah,” ujar Mak Mah. Memang sejak dari kecil Weizhe lagi dia rapat dengan anak tuannya ini. Malah, Ah Tiong juga diasuh sama. Mereka bagai sebuah keluarga besar. Keluarga cina ini hanya mengambil makanan vegeterian sahaja. Jadi, mak Mah tidak ragu-ragu dengan mereka. Malah, mereka boleh berkongsi makanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan