Translate

Jumaat, 26 September 2014

Bab 1

BAB 1
PADA pagi yang hening, keadaan sekitar masih lagi berkabus. Khayla Zahra Alisha sibuk menyorong basikalnya. Dia telah terlewat untuk ke tempat kerja. Malah, sudah setengah jam lebih dia menolak basikal miliknya. Lalu, dia bersama basikal sedang menyusuri bahu jalan bertar perlahan-lahan.
Hisy! Semasa di rumah tadi, tayar basikal ni masih elok lagi, gerutunya sambil memuncung. Bibirnya panjang berdepa-depa. Mana tidak marah, wajah yang tidak berapa cantik, mula berubah. Omelnya lagi dan lagi, selagi belum sampai ke lokasi yang hendak dia tuju.
Setelah 45 berlalu, satu bengkel pun belum berjumpa. Khayla Zahra Alisha berhenti di bahu jalan. Pantas sahaja dia mengesat peluh yang merincik pada kening dan seluruh wajahnya. Matanya turut melingas di sekitar tempat itu.
“Aduh, kedai mesti bukak pukul 10.00 ni.” bisik Khayla Zahra seraya mendongak pula. Kelihatan di dada langit, matahari belum menyulur, dilindungi oleh kabus agak tebal pagi ini. Namun, bahangnya amat terik sekali. Kelopak mata kian mengecil apabila sebuah kereta berhenti di hadapan basikalnya. Khayla Zahra bersedia, jika peragut dia harus membuka langkah seribu. Jika bukan, dia harus berdiam sahaja. Namun, dadanya berombak-ombak dan hala jantungnya tidak lagi selari. Dup dap, dup dap!
Khayla Zahra menanti dengan dada berdebar-debar. Bola matanya mengawasi seorang lelaki keluar dari kereta sport mewah tersebut. Lelaki itu berjalan dengan gagah. Sehingga dia terpesona apabila melihat aksi lelaki macho. Matanya ditujah pada lengan yang berotot. Spontan, ulas bibirnya senyum mekar yang bermakna. Jiwa remajanya mulai beralun. Mengikut rentak irama. Dan ia bernyanyi riang. Pertama kali dia melihat lelaki segagah muncul di depan mata.
Wow, berketul-ketul! Hati kecilnya berbisik nakal.