Translate

Selasa, 30 September 2014

BAB 6



BAB 6
KEDUA-DUANYA, makin sibuk. Malah, Weizhe telahpun berpindah di syarikat baharu. Di syarikat lama telah diterajui oleh Ah Tiong merangkap sepupunya. Namun, sibuk manapun dia, di kotak ingatnya terhadap gadis manis itu tetap menyala-nyala.
“Wei, kau settle masalah ni!” jerit salah seorang dari kuncu-kuncunya bernama Faisal yang menuding jari ke arah seorang lelaki yang sedang berlutut di hadapan mereka.
Weizhe menarik nafas berat. Hal kecik pun susah nak uruskan, gerutunya sambil melangkah ke arah mereka.
“Apa hal ni?” soal Weizhe dengan nada tegas, matanya merenung setiap orang di situ. Faisal merentap rambut orang yang sedang berlutut itu dengan kasar.
“Ouch...” rengek lelaki itu, air matanya jatuh berjurai-jurai. Kedua belah tangan  masih berada di kepala.
“Liat nak bayar hutang,” jelas Faisal sambil meludah kepada orang itu.
Weizhe mengangkat tangan, tanda tidak bersetuju dengan cara Faisal.
“Jangan buat macam tu, dia manusia juga.” Weizhe memberi nasihat kepada Faisal. Wajah Faisal masam mencuka dengan teguran dari bosnya itu.
“Nak tegur orang, dia tu baik sangat ke?” cemuh Faisal di dalam hati sahaja. Baran sungguh dia kerana ditegur di hadapan orang lain.
“Hutang dia tinggal berapa lagi?” soal Weizhe sambil berdegus. Dahi, kening, mata dan pipi telahpun lebam dihentam oleh Faisal. Dia mengeleng kesal.
Faisal ke depan sambil membelek buku nota. “Er... banyak lagi hutang dia.”
“Banyak tu berapa?” tengking Weizhe, baran pula dengan tingkah selamba Faisal.
“Ll... lima ribu lagi,” jelas Faisal, tergagap-gagap. Berani Faisal, ada takutnya.
“Lima ribu lagi? Kenapa dari dulu tak kutip?” marah Weizhe, buku nota dicampak tepat ke muka Faisal.
“Mm... mana saya tahu. Sebab, Ah Tiong yang pegang kes ni kan. Saya baru masuk dua bulan,” kata Faisal.
“Anton!” laung Weizhe sambil memetik jari ke arah Anton.
Anton bergegas ke sisi Weizhe. Menggigil batang tubuhnya.
“Ada apa bos?” sambil bertanya setelah dia berada di sisi bosnya.
“Berapa lama dalam kumpulan ni?”
“Er... dah dua tahun bos,” jawap Anton sambil mengira dengan jari.
Weizhe tersenyum sinis. Dada Anton berdebar-debar.
“Kau dua tahun, dia baru dua bulan.”
“Apa maksud bos?” tanya Anton dengan berani.
“Maksud aku tu, kenapa bukan kau yang ambil alih tempat Ah Tiong?”
“Mana saya tahu, bos. Ini semua Ah Tiong yang agih-agih kami,” jawap Anton.
Weizhe mengangguk-angguk tanda faham.
“Okey, kau settle masalah ni dulu. Balik kita cerita,” arah Weizhe sambil menunjuk ke arah orang yang sedang berlutut di hadapan mereka. Anton segera ke hadapan untuk menyegerakan tugasnya. Faisal terasa tidak diberi perhatian segera berganjak ke tepi.