PADA pagi yang hening, keadaan sekitar masih lagi berkabus. Khayla Zahra Alisha sibuk menyorong basikalnya.
Dia telah terlewat untuk ke tempat kerja. Malah, sudah setengah jam lebih dia
menolak basikal miliknya. Lalu, dia bersama basikal sedang menyusuri bahu jalan
bertar perlahan-lahan.
Hisy! Semasa di rumah tadi, tayar basikal ni
masih elok lagi, gerutunya sambil memuncung. Bibirnya panjang berdepa-depa.
Mana tidak marah, wajah yang tidak berapa cantik, mula berubah. Omelnya lagi
dan lagi, selagi belum sampai ke lokasi yang hendak dia tuju.
Setelah 45 berlalu, satu bengkel pun belum berjumpa. Khayla Zahra
Alisha berhenti di bahu jalan. Pantas sahaja dia mengesat peluh yang merincik
pada kening dan seluruh wajahnya. Matanya turut melingas di sekitar tempat itu.
“Aduh, kedai mesti bukak pukul 10.00 ni.” bisik Khayla Zahra seraya mendongak
pula. Kelihatan di dada langit, matahari belum menyulur, dilindungi oleh kabus
agak tebal pagi ini. Namun, bahangnya amat terik sekali. Kelopak mata kian
mengecil apabila sebuah kereta berhenti di hadapan basikalnya. Khayla Zahra
bersedia, jika peragut dia harus membuka langkah seribu. Jika bukan, dia harus
berdiam sahaja. Namun, dadanya berombak-ombak dan hala jantungnya tidak lagi
selari. Dup dap, dup dap!
Khayla Zahra menanti dengan dada berdebar-debar. Bola matanya
mengawasi seorang lelaki keluar dari kereta sport mewah tersebut. Lelaki itu
berjalan dengan gagah. Sehingga dia terpesona apabila melihat aksi lelaki
macho. Matanya ditujah pada lengan yang berotot. Spontan, ulas bibirnya senyum
mekar yang bermakna. Jiwa remajanya mulai beralun. Mengikut rentak irama. Dan
ia bernyanyi riang. Pertama kali dia melihat lelaki segagah muncul di depan
mata.
Wow, berketul-ketul! Hati kecilnya berbisik nakal.
Seakan-akan lelaki ini
seperti mengiklankan jenama pakaian terkenal di ibu kota, getus Khayla Zahra
sambil mengukir senyuman paling manis. Gerak bibir merekah sangat mengujakan
sesiapa yang memandangnya.
Namun, senyumannya serta merta kelat apabila pemuda cina itu
melangkah menghampirinya. Khayla Zahra memegang erat pedal basikal dan segera
berundur setapak. Matanya memacu tepat ke arah pemuda cina tersebut.
“Aduh, macam mana ni?” bisiknya lagi. Kecut perutnya apabila pemuda
cina tu benar-benar berdiri tegak sedang berhadapan dengannya kini.
“Jj... jangan....” rayunya dengan nada terketar-ketar. Khayla Zahra
memejam mata. Dia bimbang jika peragut itu mengapa-apakannya. Dia tidak rela.
Maruahnya harus dibela. Jika bukan diri sendiri siapa lagi? Khayla Zahra
memusar pandangan di sekitarnya. Namun, pada pagi hening ini, mana ada manusia
yang lalu di sini? Gerutunya lagi sambil berdoa di dalam hati.
“Hey, kenapa ni?” tegur lelaki cina itu sambil menghampirinya.
Khayla Zahra berundur setapak lagi. Matanya merenung tepat pada wajah pemuda
berwajah serius itu. Jantungnya seperti tercabut dari tangkainya.
“Ss... saya, takut!” jerit Khayla Zahra, matanya dipejam buat kali
kedua.
Pemuda cina itu mengertap
bibirnya. Nafsunya mula bergelora setelah melihat gelagat spontan dari gadis
beperwatakkan manja seperti ini. Bibirnya tersenyum nakal. Lantas, dia
mengambil kesempatan mengerling ke kereta dan menguntum senyuman kepada rakan
baiknya melalui cermin kereta miliknya. Rakannya itu Cuma mengangguk-angguk
sambil membalas senyuman dan mengetuk-ngetuk jari pada stereng kereta.
“Erm... serahkan beg tangan tu!” pekik suara pemuda cina itu sambil
mengunjuk tangan pada Khayla Zahra.
Khayla Zahra terkejut dan segera membuka matanya dan merenung sayu
pada lelaki cina tersebut. Dari gerak gerinya ingin memohon simpati terhadap
peragut tersebut. Lelaki cina itu tergelak di dalam hati. Kelakar benar dia melihat telatah gadis ini,
begitu naif sekali. Bahkan, dia terpesona pula. Detik
hatinya ingin berkenalan dengan gadis ini.
“Ss… saya tak ada wang…” kata Khayla Zahra
seakan-akan berbisik sambil menghulur beg tangan kepada peragut tersebut.
Pemuda itu segera merampasnya dengan kasar. Khayla Zahra terkejut terus
terjelepok di jalan tar. Basikal miliknya turut terpelanting di bahu jalan.
Tubuhnya mengerekot dek kerana ketakutan teramat sangat. Maklum sahaja pertama
kali dia menghadapi keadaan drastik seperti ini.
“Erm… memang tak ada duit pun. Lima ringgit saja ada ni,” getus peragut tersebut.
“Mana lagi? Mana!” pekik peragut itu lagi.
Nadanya kian lantang. Bingit telinga Khayla Zahra. Dia lekas menekup cuping
dengan telapak tangan. Hati pula terlalu sakit apabila suara dari peragut itu
menyentak-nyentak ulu hati Khayla Zahra.
“Ss... saya, saya... belum dapat gaji lagi.
Kena tunggu 7 haribulan,” jawap Khayla Zahra dengan suara terketar-ketar.
Matanya terpejam celik kerana ketakutan telah menguasai seluruh perasaan yang
dia ada kini. Pemuda cina itu tersenyum sinis.
“Nak kena ragut lagi sekali ke?” tanya
pemuda cina itu.
Khayla Zahra mengeleng-geleng. “Jj...
janganlah...”
“Habis, buang masa saya saja buat apa?”
soal pemuda cina itu lagi.
“Err...” khayla Zahra ingin berkata-kata,
namun suaranya tersekat pada kerongkong. Niatnya segera dimatikan sahaja.
“Apa err? Hah!” tengking pemuda cina
tersebut.
Tubuh Khayla Zahra terhenyak. Lantas, dia
segera menunduk merenung jalan tar. Itu lebih baik kerana panahan dari mata
peragut tersebut telah menusuk sehingga ke ulu hatinya. Aduh! Mata peragut itu,
walaupun sepet, tapi menarik perhatiannya.
Tanpa disedari oleh Khayla Zahra,
basikalnya telah beralih tangan. Khayla Zahra segera bangkit dan menoleh,
matanya terpaku kepada peragut tersebut, sedang bersantai sambil memegang pedal
basikalnya. Cis! Dengus Khayla Zahra di dalam hatinya.
Bola matanya merenung tajam kepada peragut
tersebut. Dengan berani, Khayla Zahra merampas semula basikal miliknya.
Huh, pandai-pandai aje dia nak ambik
basikal aku!
“Bak sini!” jerit Khayla Zahra dengan
lantang. Keberaniannya mula menyerlah. Entah dari mana datang kekuatannya itu,
dia sendiri pun terkedu.
“Hah, ambik!” balas peragut tersebut
sambil melontar basikal milik gadis itu. Khayla Zahra terdorong ke belakang dan
tanpa sempat untuk berpaut sebagai sokongan, dia bersama basikalnya
terpelanting dan tubuhnya dihempap oleh basikal miliknya. Itu namanya makan
tuan.
“Aa... doi!” Khayla Zahra merengek.
Ketingnya digosok-gosok perlahan. Mimik wajahnya mengambarkan yang dia
kesakitan. Berkerut-kerut dahinya menahan keperitan pada ketingnya itu. Mengapa
tidak, ketingnya terembat pada bendul simen yang terdapat di situ, sewaktu dia
terjelepok jatuh sebentar tadi hendak menyelamatkan basikal miliknya dari
rosak. Mana nak mendapat wang jika basikalnya jahanam dek lelaki samseng ini.
Cis!
“Hey, suka-suka aje nak rosakkan basikal
orang!” Laung Khayla Zahra hanya bergema dalam hati sahaja. Lelaki itu berpeluk
tubuh, seperti komandan lagaknya.
“Isykk... sakitnya...” rintihnya lagi.
Manik-manik mutiara mula berguguran di pipi. Keperitan mula menjalar di segenap
urat nadi dan membuatkan dia ingin menarik-narik anak rambutnya, agar kesakitan
yang dialaminya itu berkurangan.
Tatkala melihat akan keadaan gadis itu
sedang mengerang kesakitan teramat sangat. Peragut misteri tersebut mula
bersimpuh disamping Khayla Zahra, dia cuba melihat keting gadis itu. Namun,
Khayla Zahra segera berganjak. Hatinya terlalu sakit dengan perbuatan peragut
sebentar tadi. Wang tidak mampu diperolehi daripadanya, basikal buruk pula
menjadi galang ganti. Dasar penyamun tarbus! Lengkingan suaranya hanya bergema
di ruangan hati saja. Bibirnya dikekap kedap, geram. Matanya sempat dikerling
ke arah peragut tersebut.
“Jangan! Jangan usik saya, ambiklah duit
lima ringgit tu.” jerit Khayla Zahra, bersuara lantang.
“Hah!” lekingan suara dari peragut tersebut
juga bergema di sekitar mereka.
“Tapi, jangan ambik basikal saya.” Sambung
Khayla Zahra lagi.
“Kalau awak ambik jugak, saya report
polis!” ugut Khayla Zahra. Jari telunjuk diacu tepat pada wajah peragut
tersebut.
Hampir nak tersembur gelak peragut cina itu.
Namun, dia tidak sampai hati untuk mentertawakan gadis manis ini. Kerana hatinya
telah terpikat. Perasaan simpatinya mula menjelma tatkala melihat air jernih
mengalir deras di pipi gadis ini. Alangkah indahnya jika manik-manik jernih itu
mampu diseka olehnya. Kerana kesiankan gadis manis yang manja ini, peragut itu
menjadi kesian pula. Oleh itu, dia tidak sampai hati untuk menyakitinya lagi.
Perlahan-lahan, dia menghampiri gadis manis ini.
“Saya bukan seperti yang awak sangkakan.
Saya manusia biasa, saya nak tolong awak. Dari jauh saya tengok awak macam
dalam kesusahan. Jadi, saya singgah nak bantu awak. Tak ada niat saya nak ragut
awak pun.” Jelas pemuda cina yang disangka peragut oleh Khayla Zahra.









