Translate

Khamis, 27 November 2014

BAB 1
PADA pagi yang hening, keadaan sekitar masih lagi berkabus. Khayla Zahra Alisha sibuk menyorong basikalnya. Dia telah terlewat untuk ke tempat kerja. Malah, sudah setengah jam lebih dia menolak basikal miliknya. Lalu, dia bersama basikal sedang menyusuri bahu jalan bertar perlahan-lahan.
Hisy! Semasa di rumah tadi, tayar basikal ni masih elok lagi, gerutunya sambil memuncung. Bibirnya panjang berdepa-depa. Mana tidak marah, wajah yang tidak berapa cantik, mula berubah. Omelnya lagi dan lagi, selagi belum sampai ke lokasi yang hendak dia tuju.
Setelah 45 berlalu, satu bengkel pun belum berjumpa. Khayla Zahra Alisha berhenti di bahu jalan. Pantas sahaja dia mengesat peluh yang merincik pada kening dan seluruh wajahnya. Matanya turut melingas di sekitar tempat itu.
“Aduh, kedai mesti bukak pukul 10.00 ni.” bisik Khayla Zahra seraya mendongak pula. Kelihatan di dada langit, matahari belum menyulur, dilindungi oleh kabus agak tebal pagi ini. Namun, bahangnya amat terik sekali. Kelopak mata kian mengecil apabila sebuah kereta berhenti di hadapan basikalnya. Khayla Zahra bersedia, jika peragut dia harus membuka langkah seribu. Jika bukan, dia harus berdiam sahaja. Namun, dadanya berombak-ombak dan hala jantungnya tidak lagi selari. Dup dap, dup dap!
Khayla Zahra menanti dengan dada berdebar-debar. Bola matanya mengawasi seorang lelaki keluar dari kereta sport mewah tersebut. Lelaki itu berjalan dengan gagah. Sehingga dia terpesona apabila melihat aksi lelaki macho. Matanya ditujah pada lengan yang berotot. Spontan, ulas bibirnya senyum mekar yang bermakna. Jiwa remajanya mulai beralun. Mengikut rentak irama. Dan ia bernyanyi riang. Pertama kali dia melihat lelaki segagah muncul di depan mata.
Wow, berketul-ketul! Hati kecilnya berbisik nakal.
 Seakan-akan lelaki ini seperti mengiklankan jenama pakaian terkenal di ibu kota, getus Khayla Zahra sambil mengukir senyuman paling manis. Gerak bibir merekah sangat mengujakan sesiapa yang memandangnya.
Namun, senyumannya serta merta kelat apabila pemuda cina itu melangkah menghampirinya. Khayla Zahra memegang erat pedal basikal dan segera berundur setapak. Matanya memacu tepat ke arah pemuda cina tersebut.
“Aduh, macam mana ni?” bisiknya lagi. Kecut perutnya apabila pemuda cina tu benar-benar berdiri tegak sedang berhadapan dengannya kini.
“Jj... jangan....” rayunya dengan nada terketar-ketar. Khayla Zahra memejam mata. Dia bimbang jika peragut itu mengapa-apakannya. Dia tidak rela. Maruahnya harus dibela. Jika bukan diri sendiri siapa lagi? Khayla Zahra memusar pandangan di sekitarnya. Namun, pada pagi hening ini, mana ada manusia yang lalu di sini? Gerutunya lagi sambil berdoa di dalam hati.
“Hey, kenapa ni?” tegur lelaki cina itu sambil menghampirinya. Khayla Zahra berundur setapak lagi. Matanya merenung tepat pada wajah pemuda berwajah serius itu. Jantungnya seperti tercabut dari tangkainya.
“Ss... saya, takut!” jerit Khayla Zahra, matanya dipejam buat kali kedua.
 Pemuda cina itu mengertap bibirnya. Nafsunya mula bergelora setelah melihat gelagat spontan dari gadis beperwatakkan manja seperti ini. Bibirnya tersenyum nakal. Lantas, dia mengambil kesempatan mengerling ke kereta dan menguntum senyuman kepada rakan baiknya melalui cermin kereta miliknya. Rakannya itu Cuma mengangguk-angguk sambil membalas senyuman dan mengetuk-ngetuk jari pada stereng kereta.
“Erm... serahkan beg tangan tu!” pekik suara pemuda cina itu sambil mengunjuk tangan pada Khayla Zahra.
Khayla Zahra terkejut dan segera membuka matanya dan merenung sayu pada lelaki cina tersebut. Dari gerak gerinya ingin memohon simpati terhadap peragut tersebut. Lelaki cina itu tergelak di dalam hati. Kelakar benar dia melihat telatah gadis ini, begitu naif sekali. Bahkan, dia terpesona pula. Detik hatinya ingin berkenalan dengan gadis ini.
“Ss… saya tak ada wang…” kata Khayla Zahra seakan-akan berbisik sambil menghulur beg tangan kepada peragut tersebut. Pemuda itu segera merampasnya dengan kasar. Khayla Zahra terkejut terus terjelepok di jalan tar. Basikal miliknya turut terpelanting di bahu jalan. Tubuhnya mengerekot dek kerana ketakutan teramat sangat. Maklum sahaja pertama kali dia menghadapi keadaan drastik seperti ini.
“Erm… memang tak ada duit pun. Lima ringgit saja ada ni,” getus peragut tersebut.
“Mana lagi? Mana!” pekik peragut itu lagi. Nadanya kian lantang. Bingit telinga Khayla Zahra. Dia lekas menekup cuping dengan telapak tangan. Hati pula terlalu sakit apabila suara dari peragut itu menyentak-nyentak ulu hati Khayla Zahra.
“Ss... saya, saya... belum dapat gaji lagi. Kena tunggu 7 haribulan,” jawap Khayla Zahra dengan suara terketar-ketar. Matanya terpejam celik kerana ketakutan telah menguasai seluruh perasaan yang dia ada kini. Pemuda cina itu tersenyum sinis.
“Nak kena ragut lagi sekali ke?” tanya pemuda cina itu.
Khayla Zahra mengeleng-geleng. “Jj... janganlah...”
“Habis, buang masa saya saja buat apa?” soal pemuda cina itu lagi.
“Err...” khayla Zahra ingin berkata-kata, namun suaranya tersekat pada kerongkong. Niatnya segera dimatikan sahaja.
“Apa err? Hah!” tengking pemuda cina tersebut.
Tubuh Khayla Zahra terhenyak. Lantas, dia segera menunduk merenung jalan tar. Itu lebih baik kerana panahan dari mata peragut tersebut telah menusuk sehingga ke ulu hatinya. Aduh! Mata peragut itu, walaupun sepet, tapi menarik perhatiannya.
Tanpa disedari oleh Khayla Zahra, basikalnya telah beralih tangan. Khayla Zahra segera bangkit dan menoleh, matanya terpaku kepada peragut tersebut, sedang bersantai sambil memegang pedal basikalnya. Cis! Dengus Khayla Zahra di dalam hatinya.
Bola matanya merenung tajam kepada peragut tersebut. Dengan berani, Khayla Zahra merampas semula basikal miliknya.
Huh, pandai-pandai aje dia nak ambik basikal aku!
“Bak sini!” jerit Khayla Zahra dengan lantang. Keberaniannya mula menyerlah. Entah dari mana datang kekuatannya itu, dia sendiri pun terkedu.
“Hah, ambik!” balas peragut tersebut sambil melontar basikal milik gadis itu. Khayla Zahra terdorong ke belakang dan tanpa sempat untuk berpaut sebagai sokongan, dia bersama basikalnya terpelanting dan tubuhnya dihempap oleh basikal miliknya. Itu namanya makan tuan.
“Aa... doi!” Khayla Zahra merengek. Ketingnya digosok-gosok perlahan. Mimik wajahnya mengambarkan yang dia kesakitan. Berkerut-kerut dahinya menahan keperitan pada ketingnya itu. Mengapa tidak, ketingnya terembat pada bendul simen yang terdapat di situ, sewaktu dia terjelepok jatuh sebentar tadi hendak menyelamatkan basikal miliknya dari rosak. Mana nak mendapat wang jika basikalnya jahanam dek lelaki samseng ini. Cis!
“Hey, suka-suka aje nak rosakkan basikal orang!” Laung Khayla Zahra hanya bergema dalam hati sahaja. Lelaki itu berpeluk tubuh, seperti komandan lagaknya.
“Isykk... sakitnya...” rintihnya lagi. Manik-manik mutiara mula berguguran di pipi. Keperitan mula menjalar di segenap urat nadi dan membuatkan dia ingin menarik-narik anak rambutnya, agar kesakitan yang dialaminya itu berkurangan.
Tatkala melihat akan keadaan gadis itu sedang mengerang kesakitan teramat sangat. Peragut misteri tersebut mula bersimpuh disamping Khayla Zahra, dia cuba melihat keting gadis itu. Namun, Khayla Zahra segera berganjak. Hatinya terlalu sakit dengan perbuatan peragut sebentar tadi. Wang tidak mampu diperolehi daripadanya, basikal buruk pula menjadi galang ganti. Dasar penyamun tarbus! Lengkingan suaranya hanya bergema di ruangan hati saja. Bibirnya dikekap kedap, geram. Matanya sempat dikerling ke arah peragut tersebut.
“Jangan! Jangan usik saya, ambiklah duit lima ringgit tu.” jerit Khayla Zahra, bersuara lantang.
“Hah!” lekingan suara dari peragut tersebut juga bergema di sekitar mereka.
“Tapi, jangan ambik basikal saya.” Sambung Khayla Zahra lagi.
“Kalau awak ambik jugak, saya report polis!” ugut Khayla Zahra. Jari telunjuk diacu tepat pada wajah peragut tersebut.
Hampir nak tersembur gelak peragut cina itu. Namun, dia tidak sampai hati untuk mentertawakan gadis manis ini. Kerana hatinya telah terpikat. Perasaan simpatinya mula menjelma tatkala melihat air jernih mengalir deras di pipi gadis ini. Alangkah indahnya jika manik-manik jernih itu mampu diseka olehnya. Kerana kesiankan gadis manis yang manja ini, peragut itu menjadi kesian pula. Oleh itu, dia tidak sampai hati untuk menyakitinya lagi. Perlahan-lahan, dia menghampiri gadis manis ini.
“Saya bukan seperti yang awak sangkakan. Saya manusia biasa, saya nak tolong awak. Dari jauh saya tengok awak macam dalam kesusahan. Jadi, saya singgah nak bantu awak. Tak ada niat saya nak ragut awak pun.” Jelas pemuda cina yang disangka peragut oleh Khayla Zahra.

Khamis, 16 Oktober 2014

Cinta Maniak

Weizhe masih termenung di kerusi. Jarinya digigit-gigit manakala batang pen diselit di cuping telinganya. Dia masih terkenang-kenang akan gadis itu. Tiga minggu berlalu begitu saja, tanpa satu lagi pertemuan seperti yang diharap-harapkannya. Mungkin Tuhan belum menunaikan hajatnya itu.
Batang tubuhnya dibetulkan kepada kedudukan yang lebih selesa. Pen berpindah ke jari sebelah kanan pula. Kertas kosong ditoreh-toreh dengan pen tersebut. Fikirannya ternyata kosong, seperti lagu anak muda sekarang ni, kosong... kosong... kosong!
Sudahlah nama gadis itu pun dia tidak tahu, bagaimana pula dia ingin mencari tempat tinggal gadis itu? Aduhai! Sudahnya dia menggaru kepala saja.
“Hei, Wei!” laung Ah Tiong dari luar pintu pejabat. Weizhe juga tidak perasan yang pintu pejabatnya ternganga sejak tadi. Dengan lemah longlai dia turut melambai kepada Ah Tiong.
 “Hei, lemah aje ni. Jangan risau kawan, aku dah jumpa budak tu,” ujar Ah Tiong sambil melabuhkan punggung di kerusi.
Weizhe seperti orang mengantuk disorongkan bantal lagaknya. Mata yang sepet terbuka luas. Wajah mendung bertukar ceria. Dada pula berdebar-debar. Terasa mahu runtuh dinding dadanya ketika itu juga.
“Betul ke ni? Tak tipu?” soal Weizhe sambil berhadapan dengan Ah Tiong.
Bibir Ah Tiong mengukir senyuman. Dia suka melihat wajah ceria rakan baiknya itu. Hurm... Dasar buaya darat!
“Hei, aku dah berubahlah. Aku nak jadi budak baik,” kata Weizhe sambil matanya mengerling tajam ke arah Ah Tiong. Suka-suka hati aje kata aku buaya darat!
“Yalah, sangat...” ejek Ah Tiong sambil tersenyum sinis.
Hahaha... Pecah tawa mereka berdua di pejabat milik Weizhe. Mereka berdua berkawan rapat sejak kecil lagi. Malah, semakin dewasa, keakraban mereka bertambah menyerlah dan erat. Mereka juga telah berpadu tenaga dalam membina karier bersama-sama. Itu memang cita-cita mereka sejak dahulu. Mereka juga ingin cepat kaya. Bagi mereka, untuk hidup di dunia ini, poket kena penuh sentiasa. Jika tidak, mereka akan diinjak-injak dengan rakus, menjadi hamba duit.
Paling utama, mereka bersaudara. Sepupu.
“Oh, sebelum terlupa. Mana alamat tu? Bak sini!” jerit Weizhe kepada Ah Tiong.
“Kejaplah,” jawabnya sambil menyeluk saku baju kemeja dan menghulurkan sekeping kertas ke tangan Weizhe. Mata Weizhe merenung kertas tersebut. Inilah alamat gadis tempoh hari. Kertas itu dikibas-kibas. Bola mata masih merenung kertas yang tertera alamat di sebuah penempatan di pinggir KL.
Erm... Aku tahu tempat ni,” katanya setelah lama berdiam diri. Sebuah senyuman nakal terukir di tubir bibir Weizhe. Kertas itu diketuk-ketuk di telapak tangan, betapa girangnya dia dengan penemuan ini. Mungkin Tuhan telah melorongkan mereka untuk pertemuan kedua kali pula.
“Ada peluang lagi nampaknya,” sambungnya lagi.
Ah Tiong tersengih-sengih bagai kerang busuk.
“Suka sangatlah tu,” ejek Ah Tiong pula.
Hahaha! Weizhe, Ah Tiong tertawa bagai nak rak. Malah, Ah Tiong tahu sangat akan niat rakan baik merangkap sepupunya itu. Mereka berdua terlalu akrab dan kedua-duanya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sehari-hari. Hal ini disebabkan mereka berdua telah diasuh oleh Mak Mah, seorang pengasuh Melayu. Sehingga kini, Mak Mah masih lagi hidup dan tinggal dengan mereka. Dan Mak Mah juga masih sudi menjaga keperluan mereka, walaupun mereka sudah meningkat usia.
“Memanglah suka. Okeylah, aku nak keluar. Ada hal. Kau jaga syarikat, ya?” Weizhe bangkit lalu membetulkan pakaian kemejanya. Weizhe segera mengorak langkah menuju ke pintu tanpa menunggu balasan daripada Ah Tiong.
“Weh, balik nanti... tapaukan makanan!” jerit
Ah Tiong sambil memandang belakang tubuh sepupunya itu. Kelihatan tubuh Weizhe lebih tegap berbanding Ah Tiong yang agak kurus dan tinggi manakala wajah mereka jauh berbeza walaupun mereka sepupu.
“Okey, tunggu aku balik!” laung Weizhe sebelum mengunci pintu. Banyak bahaya di luar sana jika mereka tidak berhati-hati. Apabila Weizhe berada di ruang menunggu syarikat miliknya, pekerja ataupun lebih layak dipanggil sebagai bodyguard, berpusu-pusu menghampirinya.
Morning, boss!” ucap mereka serentak. Weizhe cuma angkat sebelah tangan sambil mengukir senyuman.
“Tinggal di mana?” soal Weizhe dengan wajah serius. Tulang rahangnya bergerak-gerak, kecut perut bodyguardnya. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Di KL, bos!” jerit mereka serentak.
“Orang Malaysia cakap bahasa apa?” soal Weizhe buat kali kedua.
“Bahasa Melayu, bos!” Laungan mereka yang berpadu bergema di ruangan menunggu tersebut. Bibir Weizhe menyungging suka.
“Tahu pun. Jangan sesekali cakap dengan saya menggunakan bahasa lain, selain daripada bahasa Malaysia. Ingat tu!” arah Weizhe sambil mengugut. Dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar perintahnya. Jika mereka melanggar juga, mereka akan dihukum mengikut peraturan syarikat.
“Baik, bos!” jerit mereka serentak.
Mereka tahu yang bos mereka itu seorang yang tegas dan sangat komited pasal kerja. Oleh itu, mereka tidak boleh ingkar akan arahan daripada bos yang masih muda itu. Dan mereka sangat beruntung diterima bekerja di bawah syarikat milik Weizhe, pemuda Cina yang terlalu muda usianya yang telah berjaya menubuhkan syarikat miliknya dengan usaha sama sepupunya. Mereka terlalu kagum dengan kedua-dua pemuda ini.
Weizhe memandang mereka satu persatu. Setelah itu dia berlalu ke tempat parkir kenderaan. Alat penggera ditekan dari jauh lantasbodyguard segera meluru ke kereta sambil membuka pintu kereta sport mewah berwarna merah saga milik bos mereka itu.
“Oh, jangan ikut saya. Ini bukan urusan kerja. Lepas ni, naik ke pejabat. Cek sama Ah Tiong pasal kerja kau orang untuk hari ini,” arah Weizhe sebaik bodyguardnya mahu mengekorinya. Ini adalah urusan peribadi, biar sahaja dia uruskan sendiri. Hesy!
Bodyguardnya berpandangan sesama sendiri sambil menjongketkan bahu.
“Baik, bos. Hati-hati, bos!” laung mereka sambil memandang kereta sport mewah yang membelok di persimpangan jalan menuju ke lebuh raya. Mengaum bunyi enjin kereta sport mewah membelah cerah cuaca pada hari itu.
“Hei, jomlah naik ke pejabat. Mana tahu, lokasi yang best hari ini,” ajak salah seorang bodyguard tersebut kepada bodyguard yang lain. Mereka mengangguk-angguk sambil beriringan menuju ke tangga untuk ke pejabat. Hampir setiap hari, itulah rutin mereka.
SEJAM kemudian, deruman kereta sport mewah mula mengendur. Sejak 10 minit, kereta sport berwarna merah terparkir gah di bahu jalan di pinggir KL. Kelihatan sebuah warung kecil yang agak usang sedang sibuk berniaga. Jarinya diketuk-ketuk pada stereng sambil bersiul-siul senang. Hatinya gembira, mungkin sekejap lagi dia akan berjumpa dengan buah hati pengarang jantungnya. Alahai, gadisku.
Hampir sejam menunggu, dia masih belum ketemu dengan gadis tempoh hari.
Erm... Tak boleh jadi ni,” gerutunya.
“Baik aku keluar. Makan dekat warung tu lagi bagus. Mana tahu sedap pula nasi lemak tu, bolehlah tapau untuk Ah Tiong,” katanya lagi. Pantas sahaja dia melangkah setelah menekan alat penggera kereta. Dia berjalan dengan perlahan-lahan menghampiri warung tersebut. Orang yang berkerumun sebentar tadi mula berkurangan.
Weizhe mengambil tempat duduk di satu sudut warung itu. Angin yang sepoi-sepoi bahasa begitu nyaman sekali. Dia menghirup udara segar pada hari itu. Kebetulan pula perutnya belum diisi lagi walau dengan secebis makanan. Boleh juga makan nasi lemak kukus hari ini, getusnya sambil tersenyum lebar kepada seorang mak cik empunya warung tersebut.
“Nak makan apa?” tanya mak cik itu sambil memandang kepadanya.
“Nasi lemak kukus ada, mak cik?” soal Weizhe pula.
“Ada, nak lauk apa?”
“Lauk apa yang ada?”
 “Banyak... Ada ayam goreng, ayam masak merah, rendang ayam. Daging, sambal telur, hati goreng, limpa daging goreng,” terang mak cik empunya warung itu dengan laju sekali sehingga dia keliru pula. Weizhe menggaru kepala sambil menyeringai.
Weizhe cuma mengangguk-angguk sahaja. Sungguh banyak lauk mak cik ini, getusnya sambil berfikir mahu makan apa.
“Oh, bagi saya nasi lemak biasa aje, mak cik. Telur mata goreng ada, mak cik?”
“Ada, ada. Nak minum air apa?”
“Teh tarik, mak cik. Kurang manis, ya?”
“Baiklah.” Usai mengambil pesanan, Mak Cik Jenab segera ke dapur semula.
Weizhe mengakui keenakan nasi lemak kukus buatan mak cik empunya warung ini. Memang tidak dinafikan lagi. Dia makan tanpa menoleh lagi sehingga pinggannya kosong.
Err... Mak cik, nasi lemak bungkus satu, kasi telur mata juga!” laung Weizhe sambil mengelap bibir dengan tisu. Matanya melingas ke arah jalan raya, manalah tahu yang gadis itu melalui jalan sama di tempat dia berada. Jika mengikut alamat yang diberikan, inilah tempat yang selalu dilawati oleh gadis tersebut. Weizhe menggaru kepala.
Dia keliru sama ada perlu bertanyakan perihal gadis ini kepada mak cik tersebut atau tidak. Ataupun, dia perlu berusaha sendiri. Hesy!
Err... Mak cik, boleh saya tanya?” Akhirnya, dek desakan hati, Weizhe menyoal juga mak cik empunya warung tersebut.
“Bb.. boleh, tanyalah,” jawab Mak Cik Jenab dengan suara terketar-ketar setelah anak matanya mengintai tatu di pangkal lengan pemuda Cina itu. Tangannya menggigil sebaik meletak bungkusan nasi lemak yang dipesan sebentar tadi di atas meja. Kepala lututnya mula goyah. Peluh mula memercik di kening dan dahinya. Serta-merta tubuhnya terasa sejuk pula. Aduh! Matanya mula melingas ke sekelilingnya. Jika ada orang yang melalui jalan di warung tempat dia berniaga, bolehlah diajak singgah supaya boleh menemaninya pada saat ini. Ketakutan mula menghantui diri. Seram sejuk mula terasa. Mana nak lari ni, getusnya sambil mengetap bibir.
Hrum... Mana pula budak bertuah ni?! Jeritan Mak Cik Jenab cuma bergema dalam hati sahaja.
“Ada tak seorang gadis tinggal di sini, namanya saya tak tahu. Dia tu, berwajah manis, berkulit hitam manis juga. Tak tinggi tak rendah, sedang-sedang sahaja?” Soalan daripada Weizhe menyentak lamunan Mak Cik Jenab. Matanya menyorot pada dasar mata pemuda Cina itu dengan renungan yang tajam. Dia mencari sinaran keikhlasan pada wajah anak muda itu.
“Oh ya, budak itu suka berbasikal,” sambung Weizhe lagi.
Gulp! Mak Cik Jenab tertelan air liur. Itu macam Khay... getusnya.
“Oh... Tak ada, tak ada. Kat sini tak ada budak macam tu.” Laju sahaja Mak Cik Jenab menjawab. Gadis yang disebut-sebut oleh pemuda itu ialah Khayla Zahra. Mana ada gadis kat tempat ni yang berbasikal kecuali
Khayla Zahra. Mereka semua agak moden untuk mengayuh basikal seperti si budak dungu Khayla Zahra. Khayla Zahra tidak menggemari perubahan. Dia seorang gadis klasik, penuh simbolik dan agak naif.
Weizhe bingkas bangkit dari kerusi. Masih sempat dikerling pada lengan untuk melihat pukul berapa sekarang ini. Banyak hal ingin diuruskannya pada pagi ini. Jika berkesempatan dia akan kembali ke sini, demi gadis pilihan hatinya itu.
“Tak apalah mak cik. Berapa jumlah semua ni?”
“Oh, tak mahal. Kesemua sekali, RM5.20 aje.”
Uit? Murahnya?”
Bibir Mak Cik Jenab tersungging.
“Tak boleh tekan mahal-mahal. Penduduk di sini miskin. Kami tak kaya macam orang-orang kat luar sana tu,” jawabnya dengan sinis.
Weizhe cuma mengangguk-angguk. Kebenaran daripada kata-kata empunya warung tersebut ada benarnya.
Jika Weizhe ketemu lagi dengan gadis itu, dia takkan melepaskannya lagi kerana hatinya telah terpaut pada gadis itu.
“Yalah, mak cik. Saya balik dulu, ada peluang saya datang lagi.”
“Haah... Baik-baik jalan tu!” laung Mak Cik Jenab sambil mengelap meja. Weizhe segera berpaling, lantas bibirnya menguntum senyuman kepada empunya warung tersebut. Setelah deruman kereta sport milik pemuda Cina itu menghilang, Mak Cik Jenab segera duduk di kerusi. Lelahnya kian mencengkam diri.
Tubuhnya bagai dipatuk ular. Terasa sengal dan berbisa-bisa. Demi sesuap nasi, dia terpaksa bangun awal pagi untuk memulakan perniagaan di warung ini. Warung inilah tempat dia mencari rezeki, sepeninggalan arwah suaminya. Hanya ini sahaja harta daripada arwah si suami untuknya.
Matanya merenung jauh, kelihatan basikal Khayla Zahra sedang menuju ke sini. Namun, mindanya kosong. Fikirannya melayang-layang. Kenapa samseng Cina itu bertanyakan hal Khayla Zahra, ya? Budak itu melakukan kesalahan apa? Fikirannya kian sendat.
ASSALAMUALAIKUM!” Ucapan salam daripada Khayla Zahra menyedarkan Mak Cik Jenab. Pantas sahaja Mak Cik Jenab bangkit dari kerusi itu. Pandangannya tajam menujah wajah Khayla Zahra. Juga sepasang matanya melekat pada susuk tubuh Khayla Zahra. Dia tidak berpuas hati dengan pemuda Cina tadi.
“Kenapa mak cik ni? Dahlah salam Khayla tak berjawab,” kritik Khayla Zahra.
Muncung Mak Cik Jenab mula memanjang. Herot bibirnya, geram.
“Apa kau dah buat?!” tengking Mak Cik Jenab.
Dahi Khayla Zahra berkerut seribu.
“Khayla buat apa?” Dia bertanya balik dengan seribu persoalan.
“Tadi, ada orang Cina tanyakan kau. Nasib baik hati aku baik hari ini. Kalau tidak, masak kau kena gulai dengan budak Cina tu.”
Khayla Zahra tertelan air liur. Bila masa pula dia berjumpa dengan orang Cina? Hari ini dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun, kecuali kawan-kawan di tempat kerja. Hesy! Kepala yang tidak gatal digaru-garu dengan kasar.
“Entah. Khayla tak kenal dengan orang Cina,” katanya sambil menjongketkan kedua-dua belah bahu. Tak payah takutlah, getusnya sambil berlalu ke dapur. Perut yang berirama klasik perlu diisi dengan kadar segera. Tangannya menampar-nampar perutnya yang menjerit-jerit minta diisi secepat mungkin.
“Hoi, sabarlah!” jerit Khayla Zahra sambil mengusap-usap perutnya, seolah-olah memujuk agar bersabar.
“Dah kebulur sangatlah tu!” laung Mak Cik Jenab, geramnya masih bersisa.
Khayla Zahra mengetap bibir dengan kuat. Dia turut menyimpan perasaan geram terhadap mak ciknya. Tanpa usul periksa dia telah dituduh sesuka hati saja. Siasatlah dulu, betul ke tidak fakta itu? Ah, lantaklah! Yang penting perut aku kena isi dulu, gerutunya sambil menjenguk ke dapur. Untung sahaja nasi lemak masih berbaki. Rezeki akulah ni, getusnya lagi sambil tersenyum lebar.
Erm... Hari-hari makan nasi lemak, kejap lagi badan pun berlemak,” bisiknya sambil terkekek dalam hati. Nasib baik juga berat badannya tetap maintain. Jika tidak, tentu tubuhnya gempal seperti Mak Cik Jenab. Hehehe... Dia tersengih-sengih sambil menyenduk nasi ke atas pinggan. Dibubuh juga sambal telur rebus, kesukaannya sambil menjilat bibir.
“Makan... Makan... Makan, lain kerja tak ada?” sindir Mak Cik Jenab.
Khayla Zahra tidak menghiraukan Mak Cik Jenab. Dia makan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan lagi. Perut yang kosong belum lagi senak. Mak Cik Jenab hanya memerhatikan gelagat Khayla Zahra dari belakang. Hatinya belum puas. Dia ingin memanjangkan debatnya.
“Hei, Khayla! Kau jangan cari pasal dengan budak Cina tu. Karang dibakarnya kedai ni, susah aku nak cari duit lagi,” ugut Mak Cik Jenab.
Khayla Zahra cuma melambai-lambai menggunakan sebelah tangan sahaja. Dia belum habis makan lagi. Dia mengambil masa yang lama untuk menghabiskan kesemua makanan yang dia ambil tadi. Lantaklah mak cik nak cakap apa. Aku kena pekakkan telinga saja. Keenakan nasi lemak kukus dengan sambal ikan bilis buatan tangannya ternyata sangat lazat. Erm... Sehingga menjilat bibir!
Mak ciknya cuma tinggal kukus nasi sahaja. Segala-galanya dari tangannya yang bertuah ini. Ternyata makanan yang dihasilkannya sangat laku dan diminati ramai. Nama mak ciknya telah dikenali ramai kerananya. Ah, tak mengapalah. Mak cik dia juga. Lagi pula, ini saja yang mampu dia lakukan untuk membalas jasa Mak Cik Jenab.
“Mak cik, percayalah dengan Khayla. Mana ada Khayla buat hal kat luar,” jawab Khayla Zahra setelah mencuci tangan.
“Habis tu, kenapa budak Cina tu tanyakan kau!” jerit Mak Cik Jenab.
“Entah, mana tahu!” pekik Khayla Zahra pula. Puas dia menahan sabar dengan kerenah Mak Cik Jenab. Sengaja menguji kesabarannya. Hesy!
“Aku nak ingatkan kau, ya. Aku tak nak budak tu tanyakan hal kau lagi. Jika tidak, nahas kau!” ugut Mak Cik Jenab. Khayla Zahra mencebik.
“Suka hati mak ciklah. Khayla nak balik kejap, nak solat.” Dia berdalih untuk tidak memanjangkan lagi pertelingkahan ini.
Apabila hati tengah marah, perasaannya mula kucar-kacir. Biarlah dia aman seketika mengharungi hidup ini. Hidup hanya sekali, jadi dia harus menghargai masa dengan sewajar-wajarnya. Insan adalah hak milik mutlak Allah S.W.T. Oleh itu, dia harus melakukan yang terbaik untuk dirinya, perkara yang remeh-temeh harus dinyahkan dari hidupnya.
“Huh!” Mak Cik Jenab berdengus sambil mencebik.
“Baik sangatlah tu, sembahyang tak berhenti.” Sindiran daripada Mak Cik Jenab itu tidak diambil pusing. Dia melakukan solat untuk diri sendiri dan juga dia turut mendoakan kesejahteraan Mak Cik Jenab serta perniagaannya agar maju. Hanya doa sahaja mampu dia hadiahkan sebagai anak saudara. Lebih daripada itu, dia tidak mampu.
Khayla Zahra teguhkan hati. Dia berharap agar dirinya tabah bagi menangani kehidupan ini. Jika kesabaran mulai menipis, bukan salah dia jika suatu hari nanti dia bertukar rupa. Itu pun kerana Mak Cik Jenab ialah darah dagingnya, jika tidak... entahlah

Rabu, 8 Oktober 2014


Iya, segalanya berjalan lancar. Inilah hasil usaha saya selama ini. Bertahun-tahun saya menanti dengan kesabaran yang tiada batasnya. Semoga ia membuahkan hasil bagi saya dan rumah Penerbitan Anaasa.
Tahniah kepada semua team Anaasa. Semoga maju jaya!




ASSALAMUALAIKUM.

ORDER ONLINE KINI DIBUKA. PEMBELIAN ONLINE LAYAK MENDAPAT DISKAUN DARIPADA KAMI. 300 YANG PERTAMA AKAN MENDAPAT TANDATANGAN PENULIS.
TAJUK : CINTA MANIAK
PENULIS : CT AZHAR
ISBN : 978-967-12892-1-1
HARGA SM RM25.00
HARGA SS RM28.00
FREE POSTAGE.
ANDA BOLEH PM / WHATAP 019-3960076 (AZI) / 019-9851539 (SOFI) / LAYARI BLOG KAMI http://anaasapublication.blogspot.com UNTUK MELANGGAN.
PAYMENT:
MAYBANK - 164070489366 (AZILAWATY MUDA)
CIMB - 8602041172 (ANAASA PUBLICATION)
Khayla Zahra, gadis naïf yang begitu mendambakan kasih sayang kedua orang tuanya. Walaudia masih mentah, dia sanggup menahan getir kehidupan bersama mak cik Jenab. Renyah sebenarnya, namun dia harus lalui jua onak duri serta liku-liku hidup yang sebatang kara di bumi ALLAH.
Dalam kalut dia menongkah arus dunia yang serba rakus, muncul seseorang yang dia boleh bergantung harap. Sungguh, dia terpesona pada Weizhe yang segak sasa itu. Laksana, bulan jatuh ke riba, dia mula terasa yang dia telah dilindungi oleh jejaka Cina itu. Mungkin anugerah ALLAH SWT telah diturunkan kepadanya.
“Jangan! Jangan usik saya, ambillah duit lima ringgit tu! Tapi, jangan ambil basikal saya,” ~Khayla Zahra
“Saya bukan seperti yang awak sangkakan. Saya manusia biasa, saya nak tolong awak. Dari jauh saya tengok awak macam dalam kesusahan. Jadi, saya singgah nak bantu awak. Tak ada niat saya nak ragut awak pun” ~ Weizhe
Pertemuan yang tidak diduga memberi sinar kebahagian kepada Khayla sehingga dia menerima kehadiran lelaki peragut itu sebagai pelindungnya. Ternyata keikhlasan lelaki itu membuatkan Khayla terasa dunia ini mulai berlaku adil kepadanya. Dia mula bahagia.
“Cepatlah! Nanti mata saya buta” ~ Khayla Zahra
“Sayang kena tahan sakit sikit. Cuba sayang tahan sekejap aje. Abang nak tiup, sayang buka kelopak mata sayang tu, eh. Sayang nak ke mata tu buta sampai bila-bila? Abang... Abang tak kesah. Abang boleh cari orang lain. Yang celik, yang boleh lihat abang. Ni, dah buta macam ni, macam mana eh?”~ Weizhe
Namun, hubungan sebuah ikatan yang suci sebagai suami isteri juga getir baginya. Cinta dan kepercayaannya diduga. Mampukah Khayla Zahra mengecapi kebahagiaan yang hakiki disaat gelora mula meragut kasihnya? Bolehkah dia bergantung harapan setinggi gunung Kinabalu terhadap suaminya? Masihkah ada ruang untuknya berlabuh di pelabuhan hati sang suami setelah cinta lama kembali menyapa? 
Hidupnya sentiasa malang, maka dia acap kali dikejar bayang. Betapa susahnya menjadi insan bernama Khayla Zahra Alisha. Apakah ada sinar untuknya yang kian suram?


Selasa, 30 September 2014

BAB 6



BAB 6
KEDUA-DUANYA, makin sibuk. Malah, Weizhe telahpun berpindah di syarikat baharu. Di syarikat lama telah diterajui oleh Ah Tiong merangkap sepupunya. Namun, sibuk manapun dia, di kotak ingatnya terhadap gadis manis itu tetap menyala-nyala.
“Wei, kau settle masalah ni!” jerit salah seorang dari kuncu-kuncunya bernama Faisal yang menuding jari ke arah seorang lelaki yang sedang berlutut di hadapan mereka.
Weizhe menarik nafas berat. Hal kecik pun susah nak uruskan, gerutunya sambil melangkah ke arah mereka.
“Apa hal ni?” soal Weizhe dengan nada tegas, matanya merenung setiap orang di situ. Faisal merentap rambut orang yang sedang berlutut itu dengan kasar.
“Ouch...” rengek lelaki itu, air matanya jatuh berjurai-jurai. Kedua belah tangan  masih berada di kepala.
“Liat nak bayar hutang,” jelas Faisal sambil meludah kepada orang itu.
Weizhe mengangkat tangan, tanda tidak bersetuju dengan cara Faisal.
“Jangan buat macam tu, dia manusia juga.” Weizhe memberi nasihat kepada Faisal. Wajah Faisal masam mencuka dengan teguran dari bosnya itu.
“Nak tegur orang, dia tu baik sangat ke?” cemuh Faisal di dalam hati sahaja. Baran sungguh dia kerana ditegur di hadapan orang lain.
“Hutang dia tinggal berapa lagi?” soal Weizhe sambil berdegus. Dahi, kening, mata dan pipi telahpun lebam dihentam oleh Faisal. Dia mengeleng kesal.
Faisal ke depan sambil membelek buku nota. “Er... banyak lagi hutang dia.”
“Banyak tu berapa?” tengking Weizhe, baran pula dengan tingkah selamba Faisal.
“Ll... lima ribu lagi,” jelas Faisal, tergagap-gagap. Berani Faisal, ada takutnya.
“Lima ribu lagi? Kenapa dari dulu tak kutip?” marah Weizhe, buku nota dicampak tepat ke muka Faisal.
“Mm... mana saya tahu. Sebab, Ah Tiong yang pegang kes ni kan. Saya baru masuk dua bulan,” kata Faisal.
“Anton!” laung Weizhe sambil memetik jari ke arah Anton.
Anton bergegas ke sisi Weizhe. Menggigil batang tubuhnya.
“Ada apa bos?” sambil bertanya setelah dia berada di sisi bosnya.
“Berapa lama dalam kumpulan ni?”
“Er... dah dua tahun bos,” jawap Anton sambil mengira dengan jari.
Weizhe tersenyum sinis. Dada Anton berdebar-debar.
“Kau dua tahun, dia baru dua bulan.”
“Apa maksud bos?” tanya Anton dengan berani.
“Maksud aku tu, kenapa bukan kau yang ambil alih tempat Ah Tiong?”
“Mana saya tahu, bos. Ini semua Ah Tiong yang agih-agih kami,” jawap Anton.
Weizhe mengangguk-angguk tanda faham.
“Okey, kau settle masalah ni dulu. Balik kita cerita,” arah Weizhe sambil menunjuk ke arah orang yang sedang berlutut di hadapan mereka. Anton segera ke hadapan untuk menyegerakan tugasnya. Faisal terasa tidak diberi perhatian segera berganjak ke tepi.

Ahad, 28 September 2014

BAB 5


BAB 5
MAK Cik Jenab merenung jendela kaca yang berdebu, mindanya hanya tertumpu terhadap Khayla Zahra sahaja, malah semenjak dari semalam lagi, dia memikirkan ke mana Khayla Zahra menghilangkan diri. Termasuk hari ini, sudah dua hari, Khayla Zahra tidak kembali ke rumah. Selama dua hari juga, dia tidak membuka warung kerana selama ini hanya Khayla Zahra sahaja yang pandai menguruskan bisnes ini. Dia Cuma pandai menjual makanan sahaja.
Kepalanya didongak pada langit cerah, kelihatan awan gemawan bertempiaran apabila ditiup angin. Mungkin, hujan akan turun, getusnya di dalam hati. Ala, hujan pun aku dapat apa? Panas pun aku dapat apa? Hatinya berkata-kata, sungguh dangkal sekeping hati itu, jika ia berkata begitu. Sedangkan ALLAH yang mencipta setiap kejadian di alam ini.
Yang penting baginya adalah Khayla Zahra kembali dan dia akan berniaga seperti biasa. Bagi mak cik Jenab, jika tiada usaha keras dengan mengunakan tulang empat kerat, tiada makna kehidupan ini. Tetapi, dengan segala usaha dan wang mampu diperolehi. Tanpa, ALLAH jua dia mampu untuk bertahan hidup. Betapa bongkaknya manusia yang bernama Jenab ini. Namun, dia alpa yang ALLAH Maha berkuasa di seluruh alam sejagat.
Deruman enjin kereta memancing perhatiannya. Lalu, dia berdiri dan bersembunyi di sebalik langsir yang telah lusuh. Kerana tahun lepas tidak berganti, oleh badjet yang tidak mencukupi. Matanya terbuntang setelah melihat yang Khayla Zahra keluar dari perut kereta mewah itu. Entah kerana jenis apa, yang pintunya Cuma dihadapan dan mempunyai dua pintu sahaja, berbanding dengan kereta yang memilikki empat pintu. Agaknya, kereta jenis murah kot, getusnya sambil menahan nafas.
Khayla Zahra menunduk memberi tanda hormat.
 “Terima kasih banyak, kerana sudi menolong saya,” sambil berucap.
Weizhe tersenyum lebar sambil mengangguk-angguk
“Sama-sama, saya ikhlas menolong awak.”
“Panggil saya, Khayla.”
“Owh ya, maaf.”
“Tak apa, saya okey aje.”
“A’ah, ini duit, Khayla kena beli mangga baru nampaknya.”
“Oh, tak apa, saya ada duit, saya boleh beli sendiri.”
“Eh, jangan menolak, Khayla. Saya ikhlas,” kata Weizhe tanpa berputus asa.
Khayla Zahra terdiam sejenak sambil mengelus dagu yang sedia terbentuk.
“Err, baiklah. Sekali lagi, terima kasih.”
“Ala, sikit aje tu, Khayla.”
“Baik, terima cik Khayla, sebab... Wei ni tak reti putus asa orangnya.” Sampuk Ah Tiong sambil menyorong basikal milik Khayla Zahra dan ditopangkan basikal itu di sisi Khayla Zahra.

Sabtu, 27 September 2014

BAB 4

BAB 4
WEIZHE berada di suatu tempat lapang, dia kelelahan. Peluh yang merincik dibiarkan sahaja. Wanita cina masih mengejarnya dari belakang, dia harus menyembunyikan diri daripada wanita itu. Sungguh, dia tidak rela jika beristerikan dia. Tidak, tidak! Jeritannya hanya bergema di dalam hati saja.
“Wei, di mana kau?” laung wanita cina itu. Suaranya memecah kesepian di sekitar dan sama waktu dengannya. Weizhe tetap membisu. Sungguh pun jantungnya berdebar-debar, dia akan bertahan diri.
“Wei, aku cari kau sampai dapat!” ugut suara tersebut.
Weizhe mati kutu, tubuhnya disandar pada dinding yang kepam dan berlumut. Bau tengit menusuk pada rongga baunya. Namun, dia harus menempuhnya dengan hati tabah.
“Wei!” suara itu bertambah dekat padanya. Malah dia terasa yang bahunya dipaut oleh seseorang. Weizhe segera membuka matanya. Dia bingkas bangun dan menoleh... senyuman yang kelat sebentar tadi mula bertukar ceria. Wajah Mak Mah tertera di layar matanya...
“Apa lagi tu. Termenung lagi?” soal mak Mah sambil menatang dulang berisi dua mangkuk sup ayam beserta dengan segelas air kosong juga secangkir kopi O pekat.
Weizhe Cuma menyeringai sambil menggosok pangkal tengkuk.
“Mimpilah Mak Mah, dahsyat sangat.”
“Erm... mimpikan wanita tu kejar Wei lagilah ye?”
“Ha ha ha... !” pecah tawa anak muda itu. Apabila bersama Mak Mah penipuan tidak akan terjadi, kerana gerak hatinya mampu dibaca oleh Mak Mah.
“Mak Mah tahu dah,” ujar Mak Mah. Memang sejak dari kecil Weizhe lagi dia rapat dengan anak tuannya ini. Malah, Ah Tiong juga diasuh sama. Mereka bagai sebuah keluarga besar. Keluarga cina ini hanya mengambil makanan vegeterian sahaja. Jadi, mak Mah tidak ragu-ragu dengan mereka. Malah, mereka boleh berkongsi makanan.

BAB 3

BAB 3
DI SEBUAH lorong, kelihatan seorang gadis sedang mengayuh basikalnya. Ketika itu dia ditugaskan untuk menghantar makanan kepada seorang pelangan tetap oleh mak cik Jenab. Gadis itu akur, walaupun dia begitu lewat untuk ke tempat kerja. Arahan mak cik harus dilangsaikan secepat mungkin, jika tidak kemarahan mak cik terhadapnya akan berjela-jela. Mahunya seminggu mak cik tidak bertegur sapa dengannya. Tak selera nak lihat wajah mak cik Jenab, bagai tikus mondok begitu. Hee! Selisih, selisih..
Basikal disorong dengan kasar dan dimangga di palang besi di anak tangga. Setelah itu, dia segera memanjat tangga dan menuju ke tingkat satu. Rumah kedai ini agak sunyi pada ketika ini. Kebanyakkan mereka keluar bekerja. Khayla Zahra seperti biasa mengetuk pintu bertalu-talu. Namun, tiada jawapan dari dalam rumah itu.
Khayla Zahra mengetuk sekali lagi, kali ini lebih kuat dari mula-mula tadi.
Kelihatan pintu terkuak dari dalam, Khayla Zahra segera menghulur bungkusan tersebut dan dia ingin segera berlalu dari situ, kerana hatinya mula cuak. Perasaanya kurang enak. Keadaan yang sunyi menyesakkan dadanya. Justeru kebimbangannya menular ke segenap urat nadinya.
Sesaat Cuma, tubuh Khayla Zahra terasa ringan sahaja, dengan sekelip mata dia berada di dalam rumah tersebut. Matanya melingas ke sana ke mari. Lantas, bola matanya terpaku pada susuk tubuh seseorang yang berdiri tegap betul-betul di hadapannya. Matanya terbuntang apabila mata lelaki itu merenung tajam padanya. Malahannya, diratah tubuh Khayla Zahra dengan mata galaknya itu. Cis, kurang ajar!
“Hey, kau sapa ha!” pekikan dari Khayla Zahra bergema di segenap rumah tersebut. Lelaki itu Cuma tersenyum kambing memandang dengan rakus terhadap Khayla Zahra.
“Aku nak kau!” jerit lelaki itu pula.
Khayla Zahra menjadi berang. Lantas, bungkusan makanan dicampak ke lantai.
“Berani, kau ya. Kau rupanya yang bertanyakan aku pada mak cik!” Khayla Zahra turut menjerit. Hangat betul dia dengan keadaan ini.
“Hah!” lelaki itu seakan-akan terkejut pula.